Thursday 24 January 2019

Cinta bukan tuhan..

Copypaste;

BILA DIGANGGU CINTA KEKASIH LAMA...

Seorang suami pernah meluahkan masalah hatinya kepada saya. Yakni tentang gangguan perasaan yang dialami. Dia diusik kenangan lama bila bertemu dengan bekas kekasih semula. Entah kenapa perasaan cinta mereka seakan berputik kembali.

“Kami saling mencintai. Malangnya kamitidak ada jodoh. Kami terpaksa berpisah dan kemudiannya menemui jodoh masing-masing.”

Dia mengadu, setelah hampir sepuluh tahun berlalu, tidak sangka hatinya masih berbunga cinta apabila mereka terserempak di satu majlis tanpa disangka-sangka.

Dan ajaibnya cinta, ia tidak mengenal usia. Hatinya bergetar semula. Sedangkan kini dia sudah punya dua orang anak dan bekas kekasihnya pun punya seorang anak. Masing-masing sudah punya keluarga.

“Apa masalahnya?” Tanya saya seperti sukar memahaminya. Dia kemudian mengakui bahawa bekas kekasihnya pun rupa-rupanya mempunyai perasaan yang sama.

“Cinta bukan Tuhan,” itulah jawapan pendek yang saya berikan padanya. Saya tegaskan tidak semua kehendak cinta mesti kita patuhi.

Apabila cinta melanggar batas-batas rasional, nilai-nilai kemanusiaan dan yang paling utama melanggar syariat, kehendaknya mesti dihentikan. Bahkan dilontar jauh-jauh.

Saya ingatkan kepadanya, pertimbangkan bagaimana nasib isteri dan anak-anaknya nanti jika kehendak cinta yang “gila” itu dituruti.

Pergi memburu cinta yang tidak pasti, lalu meninggalkan anak-anak dan isteri yang sudah sekian lama diamanahkan Allah SWT ...

Berbaloikah?

#Ustaz pahroi mod juoi

Membebaskan..


Copypaste

CINTA SEJATI MEMBEBASKAN!

Cinta sejati tidak semestinya memiliki apalagi mengusai! Cinta sebenar ialah membebaskan dan melepaskan. Cinta dan memiliki itu suatu yang berbeza. Jangan silap tentang hakikat itu.

Ramai pasangan suami isteri “terkorban” cintanya kerana gagal membezakan antara mencintai dengan “memiliki”. Jika salah menanganinya, kita hanya “memiliki” cinta tetapi tidak dapat menikmatinya!

Jika kita benar-benar mencintai seseorang, kita sepatutnya berfikir tentang dirinya, bukan diri kita. Kepentingan sendiri tidak dihiraukan, bahagia kekasih itulah yang diutamakan. Begitulah antara lirik lagu yang terkenal nyanyian Allahyarham P.Ramlee – Berkorban Apa Saja.

Ungkapan ini menggambarkan cinta yang sejati. Sebaliknya, jika kepentingan sendiri lebih diutamakan, sebaliknya perasaan, jiwa dan rasa kekasih dibiarkan, maka itu bukan mencintai kekasih. Itu cinta diri sendiri namanya!

Mencintai itu membebaskan, manakala memiliki itu cenderung kepada mengikat, membelenggu dan mengawal. Berapa ramai isteri yang “mengawal” suaminya atas nama cinta.

Sehingga suami hilang kebebasan dan kemerdekaan dalam hidup seharian. “Bila nak balik? Kenapa lambat? Kalau abang tak balik lagi, saya akan …” Begitulah antara kata-kata isteri yang kononnya sangat mencintai suaminya ini.

Bolehkah itu dikatakan “ayat-ayat” cinta? Maaf, itu bukan ayat-ayat cinta. Pertanyaan seperti itu lebih mirip kata-kata seorang majikan kepada pekerja atau pengawal penjara kepada banduan,  bukan antara isteri dengan suami.

Bahasa cinta tidak begitu. Bahasa cinta itu lunak. Bukan membentak tapi mengajak, bukan menyuruh tetapi memujuk...

- ustaz pahroi mohd juoi

Wednesday 23 January 2019

Ikhlas - pesan pada hati..



C&p

Saya hantar kereta orang rumah untuk service baru-baru ini. Dah siap berkira sana sini berapa RM, saya pun naik ke ruang menunggu di atas. Duduk di situ nampak seorang yang rasa macam kenal. Saya pun tegur. Ya benar. Saya tanya, “Dato hantar kereta juga?”

Beliau jawab, “ha ah kereta anak bongsu. Dia minta tolong. Nak minta wife I ambil, dia sibuk ke pasar,”

Kami duklah bersembang bagai. Saya bercerita tentang sosial media hari ini yang semua orang sedang berusaha menunjukkan kepakaran diri, dan ia memang sebuah perkara yang baik.

Beliau bercerita, semua itu bagus-bagus belaka. Namun, tidak pula dilupa perkara kebaikan yang kecil-kecil di luar sana, yang mana semua itu lagilah membawa kepada murahnya rezeki dan membawa kepada keberkatan bekeluarga.

Saya biarkan beliau bercerita. Katanya beliau pernah mengikut anaknya (nama yang disebut lain, namun kita tukar ke Fadil ya - haha) ke tempat kerja pada suatu hari. Waktu itu pemandunya terpaksa pulang ke kampung kerana kematian ibu.

Fadil menghantar anaknya ke sekolah dahulu. Keretanya dihentikan sekitar kurang 1 minit di atas jalan raya, anaknya tergocoh bersalam dari belakang dan kemudiannya membuka pintu kereta dan berlari ke pintu pagar sekolah.

Kemudian, Fadil berlalu ke untuk hantar ayahnya pula. Trafik light pertamanya dilanggar. Keretanya dipandu laju di lebuhraya. Kemudian, asal ada peluang, si Fadil ini memotong di laluan kecemasan, lorong kiri juga jika boleh, mencuri laluan supaya dapat sampai awal ke tempat yang dituju.

Ayahnya ini (katanya) biarkan sahaja. Sampai di lokasi ayahnya tadi, ayahnya buka pintu dan keluar. Fadil dengan muka mencuka terus memecut ke tempat kerjanya.

Malam itu, beliau menanti Fadil pulang. Sekitar 8-9 malam, anaknya itu balik dengan wajah sugul. Anak-anak Fadil berlari mendapatkannya, dimarah-marahnya tak larat, tak mahu diganggu kerana penat dan stress.

Anak-anaknya nampak kecewa.

Beliau ceritakan kepada saya yang malam itu adalah momen keluarga paling besar antara beliau dan anaknya si Fadil. Katanya, beliau tanya semula, redakah Fadil menghantarnya pagi tadi, hingga sanggup menyakitkan hati pemandu lain (menghantar anak dan park atas jalan walau 1 minit), kemudian, mencarik-carikkan hati ayahnya sendiri dengan memandu semberono untuk sampai awal.

Fadil tergamam. Kata ayahnya, wajahnya berubah. Nampak menyesal.

Ayahnya cakap,

“dari dia kecil, asal kita minta tolong, dia tolong, namun begitulah perangainya. Dia akan balas dengan pertolongan yang dipaksa-paksa, kalau boleh disakit-sakitkan hati kita. Habis dia ingat yang dia tolong itu malaikat akan angkat sebagai pahala? Tak! Itu akan dicela-celanya, dihina-hina sekuatnya kerana kau menyakitkan hati orang dalam pertolongan kau. Macam mana rezeki nak masuk? Sebab itulah kau susah, duduk rumah aku sekian lama sedang anak-anak yang lain semuanya sudah begitu begini.”

Katanya lagi;

“Kita ini, di sosial media, iyalah semua benda bagus kita cerita. Kalau ada majlis, itulah muka nak selfie dengan kita. Konon kata kitalah nyawa mereka. Kita pun baca. Senyum sahajalah.

Namun apabila kita minta tolong, jika tak boleh tolong, cakap sahajalah. Tidaklah kau tolong, namun berbuat dengan menyakitkan hati kita. Kita orang tua. Faham jika anak-anak tak boleh tolong.

Jika dengan ibu bapa kalian berbuat begitu, kalian faham sendirilah mengapa rezeki selalu semput, selalu hati kalian itu kacau bilau, selalu dapat benda-benda resah di pejabat dan kerapnya diuji yang bukan-bukan.

Itulah.”

Saya diam sahaja. Nampak matanya merah.

“Ini Dato tolong servicekan kereta anak dato pula,” Saya cuba tukar topik. Cewah haha.

“hahaha. Yang ini satu hal, semua benda kita kena buatkan. Bongsu. Takpalah, dia hari-hari salam tangan kita, cium pipi kita nak pergi kerja. Jadi lainlah sikit dengan bongsu ni. Dia selalu buat kita senyum, minta tolong pun terus buat. Takdalah nak muka masam, nak itu nak ini, dia buat saja. Kita pun rasa senang nak tolong dia. hehe.”

Saya ketawa kecil. Kami sambung bersembang hal-hal lain. 

Saya pulang ke rumah. Rasa berat juga dapat cerita yang begini. Masa muda-muda dulu rajin buat begitu dengan emak abah. Dan entah-entah dosa-dosa lama itulah menyebabkan hari ini diuji yang bukan-bukan.

Kita rasa kita hebat dapat tolong, namun setiap yang kita tolong itu bersama dengan keburukan hati. Lalu Tuhan murka dan mencela kita dengan ujian yang kita sendiri tak boleh terima.

O Allah. Itulah kami, selalu lupa. Maafkanlah.

Dan untuk hari ini dan esok, kita berubahlah. Semoga kita berbaik sahaja dengan setiap yang kita bantu dan tolong. Dan itulah yang dinamakan sebagai ikhlas.

Hari ini baru tahu, ikhlas juga adalah salah 1 dari pintu gerbang besar untuk rezeki masuk.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad
Maafkan kami..