Friday, 31 August 2018

Ajarkan aku perkara baik..

Dialog Orang Bercinta
==================
1. Al-Quran merekodkan dialog Nabi Musa ketika Baginda bermunajat dengan Allah SWT. Allah SWT bertanya kepada Nabi Musa:

وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَا مُوسَىٰ

“Apa yg berada di tangan kananmu wahai Musa?”

Nabi Musa menjawab: "Ini adalah tongkatku; aku bertongkat dengannya, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu". (Surah Taha:17-18)

2. Perhatikan bagaimana Allah bertanya kepada Nabi Musa tentang tongkat tersebut. Apakah Allah tidak tahu akan apa yg berada di tangan Nabi Musa? Menurut al-Imam Ibn Kathir, pertanyaan itu diajukan sebagai medium untuk mendekati dan menyantuni hambanya. (Tafsir Ibn Kathir)

3. Manakala Nabi Musa pula memberikan empat jawapan untuk satu soalan. Allah hanya bertanya: "apakah yg berada ditangan kananmu wahai Musa?" Nabi Musa menjawab:
(1) ini tongkat aku (2) aku bertongkat dengannya (3) aku gunakannya utk gugurkan daun buat kambingku (4) dan kadang-kadang aku guna untuk perkara lain.

Nah! Lihatlah keseronokan Nabi Musa berbicara dengan Allah. Satu soalan ditanya, empat jawapan dikongsikan. Inilah tabiat (nature) orang bercinta. Mereka tenggelam dengan keseronokan berbual dengan orang yang dikasihi. Dengan sebab itu Sheikh al-Tantawi menyebutkan bahawa inilah maqam perbualan kekasih dengan kekasihNya. (Tafsir al-Wasit)

4. Sebab itu kita melihat mereka yang bercinta akan tenggelam dengan perbualan bersama kekasihnya. Begitulah perbualan Nabi Musa dengan Allah. Kalau situasinya hari ini, kita akan lihat anak muda yang lama bergayut di telefon.

5. Dalam perihal orang yang dicintai dan disayangi ini, Rasulullah mengajarkan kepada kita bahawa sekiranya kita sayang seseorang hendaklah kita mengajarkan mereka perkara yang baik.

6. Perkara ini dipraktikkan oleh Rasulullah ketika Baginda mengucapkan kepada Muaz: Wahai Muaz, aku mencintai engkau kerana Allah, maka ucapkanlah setiap kali selepas solat
:
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

7. Jelas di sini bahawa, apabila Rasulullah menyayangi seseorang, maka diajarkan kepada mereka perkara yang baik.

8. Di sini adalah titik muhasabah bagi kita. Apabila kita menyayangi seseorang, apakah kita mengajarkan kepada mereka perkara yang baik? Atau apakah kita yang membawa mereka terjerumus kepada perkara yang tidak baik? Apakah kita pernah menasihatkan kepada rakan kita supaya berhenti merokok? Atau jangan tinggalkan solat?

Mari kita beristighfar dan bermuhasabah.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=714251565578639&id=630358917301238

No comments:

Post a Comment